UCAPAN BELANJAWAN TAHUN 1998

Oleh

Y.B. DATUK ABDUL GHAPUR HJ. SALLEH

TIMBALAN KETUA MENTERI / MENTERI KEWANGAN

DI PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI

PADA 17 NOVEMBER 1997

 

 Tuan Speaker,

1. Saya merasa bangga dan berbesar hati kerana berpeluang untuk sekali lagi membentangkan Belanjawan Negeri bagi tahun 1998 di Dewan Yang Mulia ini, sejak saya mengambilalih tugas Menteri Kewangan pada tahun lalu. Belanjawan tahun hadapan akan terus memikul komitmen Kerajaan yang berat untuk memantapkan ekonomi di samping menunaikan kewajipannya untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat jelata Negeri ini.

2. Kita semua sedar bahawa ekonomi Negara sudah memasuki era peralihan. Pelbagai ketidakpastian mula mencabar hala tuju ekonomi Negara dan ditokok tambah pula dengan pergolakan dalam pasaran kewangan yang memudaratkan nilai mata wang Malaysia. Kita yang berada di Sabah turut menerima hambatan ini. Namun demikian berkat perancangan Kerajaan Pusat mahupun Kerajaan Negeri hari ini dan ketelitian pucuk pimpinan Kerajaan, pergolakan ini di sebaliknya membuka peluang untuk kita memperkukuhkan pengurusan kewangan negeri dan seterusnya membantu menyusun strategi-strategi agar ekonomi negeri dapat terus berkembang. Dalam ekonomi negeri berada di tengah-tengah kekalutan yang penuh dengan cabaran-cabaran ini, saya penuh yakin anggota perkhidmatan awam akan dapat memainkan peranannya untuk terus cekal dan meningkatkan disiplin dalam semua bidang dan didorongi dengan peningkatan produktiviti. Sehubungan dengan ini juga saya yakin sokongan dan kerjasama yang erat dari rakan-rakan saya dalam Kabinet akan dapat mempertingkatkan lagi usaha ke arah mencapai matlamat-matlamat untuk membangunkan negeri ini.

 

Senario Ekonomi

3. Mengikut ramalan, pertumbuhan ekonomi dunia akan naik kepada 3.7% berbanding 3.3% tahun lalu, dengan Amerika Syarikat, Eropah Barat dan Amerika Selatan menunjukkan kenaikan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masing-masing. Ekonomi Negara-negara Asia diramalkan turut berkembang dengan kadar pertumbuhan 3.8% pada tahun 1998 dan 4.0% pada tahun 1999. Walaupun mengalami krisis mata wang, langkah-langkah yang pragmatik telah diambil oleh beberapa buah Kerajaan Asia dengan memperkukuhkan pasaran sektor kewangan dan hartanah. Di samping itu peningkatan pulangan eksport beberapa bulan lalu menunjukkan tanda-tanda positif bahawa ianya akan berterusan.

4. Kejatuhan ringgit Malaysia dan kelembapan pasaran Bursa Saham Kuala Lumpur tidaklah bererti ekonomi Malaysia telah lemah. Sebaliknya ekonomi Malaysia memiliki asas-asas yang kukuh, seperti mana ditunjukkan oleh kadar inflasi yang rendah, pra-pembayaran hutang, rezab wang asing yang kukuh, kadar simpanan yang tinggi, tahap pekerjaan yang penuh, iklim pelaburan yang sihat dan kestabilan politik. Kebijaksanaan barisan pemimpin-pemimpin Kerajaan sekarang dalam mengubal dasar-dasar ekonomi yang berhemat bagi membina benteng untuk menghadapi gejala ekonomi yang melanda Malaysia, telah mendapat pengiktirafan umum. Semua ini mampu membantu Negara mengatasi keadaan sekarang yang dianggap sementara. Antara langkah-langkah yang telah diambil termasuklah langkah untuk mengelakkan pembaziran, penekanan dalam kawalan perbelanjaan, kawalselia ke atas peraturan-peraturan lindung nilai tabung kewangan (hedge fund) dan juga pengawalan sektor hartanah adalah di antara tindakan untuk menekankan penjimatan dan mengurangkan defisit akaun semasa.

5. Dengan pergolakan ekonomi persekitaran, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini ialah 8.0%; yang menunjukkan penurunan daripada 8.2% seperti diramalkan sebelum ini. Bagi tahun 1998, KDNK dijangka akan merekodkan pertumbuhan sebanyak 7.0%.

 

Ekonomi Sabah

6. Ekonomi Sabah sedang mengalami suatu tempoh transformasi sejak beberapa tahun lalu dan menghala ke arah paradigma baru menerusi pelaksanaan Rangka Rancangan Jangka Panjang Sabah (RRJPS). Ekonomi negeri ini telah beralih dengan perlahan daripada pergantungan ke atas sebilangan eksport komoditi mentah kepada pelbagaian pengeluaran barang-barang yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi. Peralihan yang menggalakkan ini merupakan asas penting bagi ekonomi Sabah sebelum ianya dapat melonjak ke hadapan ke arah ekonomi yang mempunyai pertumbuhan yang tinggi dan mampan.

7. Pada tahun 1996 kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) ialah 4.2% berbanding dengan 3.1% pada tahun 1995. Pertambahan ini dapat dicapai ekoran daripada iklim ekonomi dunia yang sihat, kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh khususnya dalam sektor pembuatan dan sektor pertanian dan penternakan yang mengalami harga pasaran komoditi yang menarik dan peningkatan keluaran eksport. Oleh kerana ekonomi Sabah adalah terdedah luas kepada ekonomi dunia, kejatuhan ringgit Malaysia, buat sementara waktu akan menggalakkan pertambahan pendapatan daripada eksport. Namun demikian, kejatuhan ringgit Malaysia akan membawa kesan negatif ke atas ekonomi Sabah dalam jangka masa panjang kerana ianya akan menyukarkan kelicinan peralihan ekonomi dan mengurangkan kecekapan pengeluaran dan perkembangan kegiatan-kegiatan hiliran bawah yang lain. Dengan keadaan ini adalah mustahak bagi ekonomi Sabah memastikan pertumbuhan yang mampan dan mengelakkan kepesatan ekonomi akibat daripada pertumbuhan yang mendadak. Dalam keadaan di mana nilai ringgit Malaysia yang tidak menentu, KDNK Sabah diramal akan berada di tahap 4.36% pada tahun 1997 dan 4.0% bagi tahun 1998.

8. Dorongan ke atas pertumbuhan bagi tahun 1997 dan 1998 direncanakan menerusi sektor-sektor berorientasikan eksport seperti pertanian, penternakan, pembuatan, pelancongan dan yang berkaitan dengan perkhidmatan. Industri kelapa sawit merupakan penyumbang utama kepada sektor pertanian akan diperhebatkan lagi dengan penubuhan kelompok industri kelapa sawit dengan loji penapis minyak sawit di Sandakan. Dalam pada itu sektor pembuatan akan diperkukuhkan lagi dengan pembangunan kemudahan-kemudahan infrastruktur khususnya bagi Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

9. Sektor pelancongan dan perkhidmatan akan terus berkembang dan memainkan peranan penting dalam membangunkan ekonomi negeri ini. Dengan kejatuhan ringgit, Sabah akan menjadi destinasi pelancongan alternatif yang termurah bagi pelancong-pelancong asing yang datang ke Sabah terutama sekali dalam aspek tambang kapal terbang, tempat penginapan dan pakej peranginan. Galakan Kerajaan Pusat untuk memesatkan pelancongan domestik akan menambah merangsangkan lagi perkembangan sektor ini.

10. Dengan harga yang lebih kompetitif bagi keluaran kayu bergergaji dan minyak mentah di pasaran antarabangsa akibat kejatuhan nilai mata wang, akan menambah pendapatan eksport bagi kedua-dua komoditi utama tersebut. Namun demikian Kerajaan Negeri akan terus mengenakan kuota pengeluaran balak untuk memastikan Sabah mematuhi syarat ‘International Timber Trade Organisation (ITTO)’ ke atas pengurusan perhutanan berkekalan yang akan berkuatkuasa menjelang tahun 2000.

11. Krisis kejatuhan ringgit Malaysia akan menghalang perkembangan sektor seperti pembinaan kerana bahan-bahan binaan yang kebanyakannya diimport daripada luar negeri akan menaikkan kos pembinaan. Langkah-langkah untuk mengurangkan import oleh Kerajaan Pusat akan juga membawa kepada penangguhan projek-projek pembangunan. Kerajaan Negeri, sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab akan meneliti semula projek-projek Kerajaan dan juga projek swasta dan memberi keutamaan kepada projek-projek sambungan yang sedang dalam pelaksanaan untuk membangunkan ekonomi negeri seperti kemudahan-kemudahan infrastruktur dan pembangunan luar bandar dan perumahan awam kos rendah.

12. Oleh kerana Kerajaan mengalakkan para pengguna untuk berjimat dengan mengurangkan perbelanjaan ke atas barangan import, maka kegiatan borong dan runcit dijangka akan berkembang secara perlahan. Dalam dagangan luar pula, Sabah mencatatkan defisit sebanyak RM499.90 juta dalam tempoh lapan bulan pertama pada tahun 1997 berbanding dengan lebihan sebanyak RM15.30 juta dalam tempoh yang sama pada tahun lalu. Kejatuhan ini adalah berpunca daripada kenaikan import berbanding eksport negeri. Saya yakin keadaan ini akan terkawal pada tahun hadapan berikutan dengan langkah-langkah yang diumumkan dalam dasar Belanjawan Negara baru-baru ini untuk mengawal import. Eksport komoditi utama bagi Sabah adalah terdiri daripada kelapa sawit dan diikuti oleh petroleum mentah, kayu bergergaji, papan lapis, kertas dan methanol. Manakala barangan yang diimport termasuklah kenderaan, peralatan pengangkutan, jentera dan bahan makanan.

 

Anggaran Hasil Negeri 1998

13. Jumlah hasil Negeri Sabah bagi tahun 1998 adalah dianggarkan sebanyak RM1,727.35 juta iaitu 13.6% lebih tinggi berbanding dengan Anggaran Hasil yang disemak sebanyak RM1,519.98 juta bagi tahun 1997. Peningkatan ini adalah berkait rapat dengan penangguhan penyenaraian sebuah agensi Kerajaan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun ini.

14. Sektor perhutanan masih terus menjadi penyumbang terbesar bagi hasil Negeri bagi tahun 1998. Sektor ini dijangka akan menyumbangkan sebanyak RM611.80 juta atau 35.4% daripada keseluruhan hasil Negeri. Lebih daripada 55.0% hasil sektor perhutanan ini berbentuk royalti eksport balak. Penurunan nilai ringgit Malaysia berbanding dollar Amerika akan membawa pulangan yang lebih tinggi bagi komoditi yang dieksport. Manakala item yang menjadi penyumbang kedua terbesar bagi hasil Negeri tahun 1998 ialah daripada pungutan, dividen dan faedah iaitu, sebanyak RM549.81 juta. Sebahagian besar daripada jumlah ini adalah diperolehi melalui penyenaraian sebuah agensi Kerajaan yang telah tertangguh pada tahun ini yang dianggarkan akan membawa hasil bernilai RM500.00 juta. Kerajaan yakin bahawa eksesais penyenaraian ini akan dapat dilakukan pada tahun hadapan.

15. Hasil daripada Kastam melalui duti bagi keluaran petroleum dijangka akan menyumbangkan 12.6% atau RM218.05 juta kepada Hasil Negeri pada tahun 1998. Walaupun pemungutan dan penetapan tarif ini terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Kerajaan Negeri yakin dengan adanya kerjasama yang rapat daripada Jabatan ini, jumlah hasil yang dianggarkan bagi item ini pada tahun hadapan dapat dicapai.

16. Hasil disemak daripada tanah pada tahun ini dianggarkan RM150.23 juta; menunjukkan peningkatan lebih 60.0% daripada anggaran asal RM90.35 juta. Peningkatan pungutan premium tanah berikutan daripada pertambahan hak milik tanah dan pertukaran status tanah akan menjadi faktor yang berkesan ke atas pungutan Hasil dan menjadi petanda baik bagi tahun-tahun hadapan. Oleh itu Kerajaan menjangkakan sebanyak RM100.40 juta dapat dikutip pada tahun 1998, satu kenaikan yang besar berbanding dengan nilai anggaran tahun-tahun yang sudah. Sektor perlombongan akan menyumbangkan RM78.85 juta hasil pada tahun hadapan. Daripada jumlah ini RM75.66 juta adalah royalti daripada petroleum dan RM3.19 juta lagi royalti daripada tembaga. Walau bagaimanapun anggaran hasil keseluruhan tahun 1998 bagi sektor ini adalah dijangka turun sebanyak 3.87% berbanding dengan tahun 1997. Penurunan ini adalah disebabkan oleh pengurangan pengeluaran bagi kedua-dua komoditi tersebut.

17. Sumbangan Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat sebanyak 4.5% pada tahun hadapan iaitu dengan jumlah RM89.01 juta berbanding dengan anggaran yang disemak bagi tahun 1997 yang bernilai RM85.16 juta. Daripada jumlah ini, RM56.68 juta adalah dalam bentuk Pemberian mengikut Perlembagaan yang akan diperolehi oleh Kerajaan Negeri secara langsung. Baki sebanyak RM32.32 juta lagi adalah merupakan peruntukan yang mana pengeluarannya adalah tertakluk kepada kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, saya yakin Kerajaan Persekutuan akan menunaikan tanggungjawabnya agar jumlah ini dapat dikeluarkan sepenuhnya pada tahun hadapan.

18. Kerajaan Negeri juga akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha memungut hasil daripada jualan air yang mana perkara ini telah terabai sekian lama. Dalam usaha ini, pakej komputer dan lain-lain pendekatan yang boleh membantu ke arah mempercepat pengemaskinian rekod dan pengeluaran bil-bil telahpun disusun rapi. Dengan adanya sistem bil berkomputer dan tenaga profesional yang khusus, maka dianggarkan hasil yang boleh dikutip bagi item ini berada dalam lingkungan RM40.43 juta pada tahun 1998 berbanding dengan anggaran hasil yang disemak tahun 1997 yang bernilai RM21.51 juta.

19. Di samping itu, terdapat juga punca-punca hasil lain yang tidak kurang pentingnya iaitu, sewa ke atas harta benda Kerajaan yang dianggarkan menyumbangkan RM19.19 juta, hasil-hasil lain RM12.89 juta, lesen-lesen dan hasil dalaman sebanyak RM2.25 juta, kutipan hasil daripada perkhidmatan Kerajaan yang tertentu RM1.63 juta, Pelabuhan dan Dermaga RM1.62 juta dan akhir sekali hasil daripada Keretapi sebanyak RM1.42 juta.

 

Perbelanjaan Perbekalan 1998

20. Bagi tahun 1998 sebanyak RM1703.00 juta telah diperuntukkan. Jumlah ini menyediakan sebanyak RM375.45 juta untuk bayaran Emolumen, RM358.88 juta untuk Perbelanjaan Berulang dan sejumlah RM968.67 juta diperuntukkan untuk Perbelanjaan Khas untuk membiayai beberapa perkhidmatan mustahak termasuk sumbangan kepada Kumpulan Wang Pembangunan. Peruntukan RM375.45 juta untuk Emolumen telah meningkat sebanyak RM10.81 juta berbanding dengan tahun ini. Pertambahan ini diperlukan untuk menampung kenaikan gaji tahunan dan penggredan beberapa jawatan dan pewujudan pejabat baru.

21. Saya tidak berhasrat memberi huraian terhadap agihan peruntukan yang disediakan bagi Kementerian-kementerian satu demi satu kerana rakan-rakan Kabinet saya akan masing-masing berpeluang menghuraikannya dalam Dewan Yang Mulia ini kelak. Namun begitu saya merasakan perlu untuk menerangkan beberapa kepala perbelanjaan yang melibatkan perbelanjaan yang besar. Sebanyak RM577.00 juta adalah dicarumkan kepada Kumpulan Wang Pembangunan, Selanjutnya sebanyak RM180.00 juta adalah disediakan untuk pembelian air dan perbelanjaan yang berkaitan. Jumlah ini merupakan 80% daripada keperluan hingga penghujung tahun. Ini adalah berikutan dengan cadangan Kerajaan untuk memperbadankan Jabatan Air pada tahun hadapan dan jika ini berjalan dengan lancar, sumbangan wang awam ke atas perbelanjaan ini akan dapat dijimatkan. Sebanyak RM69.12 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan Perkhidmatan Am Perbendaharaan dimana daripada jumlah ini RM20.00 juta adalah untuk bantuan kepada badan-badan bukan Islam dan RM8.00 juta lagi adalah untuk bantuan sekolah-sekolah swasta. Seterusnya, sebanyak RM56.00 juta adalah merupakan sumbangan kepada Badan-badan Berkanun Negeri dan, sebanyak RM40.00 juta wang yang dicarumkan kepada Kumpulan Wang Berkanun akan digunakan untuk membiayai pembangunan projek KKIP. Di samping itu, Kerajaan juga akan terus memberi sumbangan sebanyak RM25.00 juta kepada program perkhidmatan sosial dan RM24.80 juta lagi sebagai pemberian kepada Kuasa-kuasa Tempatan.

22. Pengagihan peruntukan mengikut Kementerian-kementerian adalah diperturunkan seperti berikut:

 

Anggaran 1998

.Bil. Kementerian/Jabatan RM Juta %
1. Kementerian Pembangunan Perindustrian 5.26

0.30

2. Kementerian Pembangunan Sumber dan Perusahaan 22.08 1.30
3. Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan 25.49 1.50
4. Kementerian Pelancongan dan Pembangunan Alam Sekitar 22.98 1.35
5. Kementerian Pembangunan Luar Bandar 48.97 2.88
6. Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan 33.38 1.96
7. Kementerian Perkhidmatan Sosial 69.60 4.09
8. Kementerian Pertanian dan Perikanan 136.45 8.01
9. Jabatan Ketua Menteri 219.32

12.88

10. Kementerian Perhubungan dan Kerja Raya 383.63 22.53
11. Kementerian Kewangan 708.61 41.61
12. Perbelanjaan Tanggungan 14.57

0.85

13. Perbelanjaan yang tidak termasuk Dalam Kementerian- Kementerian 12.66 0.74

JUMLAH

1,703.00 100.00

  

23. Pergolakan dalam ekonomi negara baru-baru ini turut membawa pelbagai kesan dan ketidakpastian ke atas ekonomi negeri ini. Sejajar dengan strategi Belanjawan Negara Kerajaan Negeri turut berganding bahu untuk mengawal perbelanjaan awam supaya lebih berhemat. Oleh itu, saya menyeru agar semua pegawai pengawal untuk lebih berhati-hati dalam mengurus perbelanjaan wang awam dan supaya mengamalkan penjimatan serta mengelakkan pembaziran. Anggota perkhidmatan awam sebagai kumpulan pekerja yang elit dan berdisiplin hendaklah sentiasa menunjukkan kecekapan dan prestasi kerja yang tinggi, demi untuk mengimbangi peningkatan kos. Pertambahan perbelanjaan dalam apa bentuk sekalipun hendaklah dielakkan. Justeru itu, anggota awam hendaklah lebih bertanggungjawab dan tidak cuai dalam menjalankan tugas sebagaimana yang dikehendaki. Tindakan yang setimpal termasuk tindakan disiplin atau surcaj akan dikenakan jika mereka didapati engkar dan melanggar peraturan-peraturan yang ada.

24. Langkah-langkah dan usaha-usaha akan terus disusun oleh Kerajaan untuk meningkatkan kawalan terhadap perbelanjaan wang awam, di antaranya termasuk menentukan saiz perkhidmatan awam di tahap optima dan menyusun semula keanggotaan awam yang berlebihan menerusi pengagihan tugas dan fungsi. Eksesais ini akan juga melibatkan gerakan penyusunan semula Badan-badan Berkanun Negeri. Peraturan perundangan baru akan diperkenalkan berhubung dengan pengurusan Badan-badan Berkanun, yang bertujuan untuk meningkatkan akauntabiliti dan mengemaskinikan sistem yang ada sekarang supaya lebih mantap sejajar dengan matlamat Kerajaan.

25. Sehubungan dengan ini, Kerajaan bercadang untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan Negeri, melalui strategi untuk memperbadankan beberapa buah agensi-agensi ini. Tidak syak lagi bahawa tindakan untuk memperbadankan agensi-agensi ini dan seterusnya penyenaraian, akan dapat menyumbang ke arah meningkatkan hasil Negeri dengan maksima. Di samping itu, penyenaraian akan memastikan nilai pasaran sesebuah badan yang diswastakan itu dan membuka peluang kepada Kerajaan untuk mendapatkan hasil dari pasaran kewangan bagi membiayai program pembangunan. Kerajaan telahpun memperbadankan Perbadanan Tenaga Sabah dan sekarang ini dalam proses memperbadankan Lembaga Pelabuhan-pelabuhan Sabah. Agensi-agensi ini akan menjadi jentera pengerak untuk pembangunan tenaga dan juga memesatkan penyediaan kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan pelabuhan. Walaupun demikian Kerajaan Negeri masih perlu meneruskan kawalannya ke atas agensi-agensi ini demi untuk mencapai matlamat Pelan Induk Perindustrian.

26. Strategi Kerajaan Negeri untuk mampu bersaing di peringkat ekonomi global dalam era Teknologi Maklumat, telah mula menyerlah dengan penubuhan Unit Sains dan Teknologi dan sekaligus kemunculan SabahNet. Ianya bukan sahaja sebagai pemangkin ke arah perkembangan industri Teknologi Maklumat tetapi juga berupaya membawa perubahan besar dalam pentadbiran Kerajaan melalui pengurusan elektronik dalam dunia multimedia. Tidak dapat dinafikan bahawa Sabah Net berupaya untuk bertindak sebagai tulang belakang dan menjadi nadi ke arah pembangunan ekonomi Negeri berasaskan pengetahuan. Pelancarannya adalah selaras dengan era pengurusan yang semakin kompleks yang memerlukan kualiti dan kecekapan bagi memenuhi harapan rakyat untuk berdaya saing berasaskan sains dan teknologi.

27. Pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar akan terus mendapat perhatian yang serius daripada Kerajaan. Pengalaman yang dilalui baru-baru ini di mana pencemaran jerebu melanda di serata tempat di Negara ini, mengingatkan kita semua betapa perimustahaknya menjaga bumi ini sebagai pusaka yang unggul kepada kehidupan asas manusia sejagat. Program-program khusus terhadap pemuliharaan dan kempen kesedaran pembangunan alam sekitar akan dipertingkatkan pada tahun hadapan. Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab seluruh lapisan masyarakat, pihak Kerajaan mahupun sektor swasta untuk menghormati dan mematuhi peraturan-peraturan dan perundangan alam sekitar yang berkuatkuasa.

28. Tidak dapat disangkal bahawa sumbangan dan dedikasi anggota perkhidmatan awam dalam menjalankan tugas dan menjayakan program pembangunan dan sosial amatlah bererti. Sebagai menghargai sumbangan mereka ini, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk memberi sebulan gaji sebagai bonus kepada anggota perkhidmatan awam bagi semua Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Sokongan dan Kumpulan setaraf dengannya, dengan jumlah minimum sebanyak RM700.00.

 

Perbelanjaan Pembangunan 1998

29. Matlamat kembar Negeri Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh dan di bawah Rangka Rancangan Jangka Panjang Sabah (RRJPS), adalah untuk mempercepatkan proses pertumbuhan dan membasmi kemiskinan. Ini akan menjadi asas landasan kepada pembangunan yang berimbang dan melahirkan masyarakat adil dan berdaya saing. Strategi-strategi untuk mencapai matlamat seumpama ini yang telah dinyatakan dalam ucapan dasar Belanjawan Negeri dalam tahun pertama bermulanya Rancangan Malaysia Ketujuh. Di antaranya ialah, menghapus perbezaan dan ketidakseimbangan sosial dan ekonomi di negeri ini; menjadikan sains dan teknologi sebagai komponen penting dalam perancangan dan pembangunan sosio-ekonomi; menggalakkan pembangunan sumber manusia; memastikan pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar bagi menjamin pembangunan berkekalan dan kualiti hidup dan seterusnya memastikan keperluan asas sosial dan infrastruktur fizikal dibekalkan dengan secukupnya.

30. Dalam usaha untuk melaksanakan matlamat-matlamat ini sebanyak RM680.88 juta disediakan di bawah Kumpulan Wang Pembangunan pada tahun 1998. Melalui jumlah ini, RM577.57 juta adalah diperlukan daripada sumbangan Kerajaan Negeri, RM64.42 juta adalah terdiri daripada Pinjaman Persekutuan dan RM38.89 juta adalah Bayaran Balik Persekutuan.

31. Sukacita saya memaklumkan di Dewan Yang Mulia ini bahawa sebanyak RM379.39 juta atau 65.7% diagihkan untuk meliputi sektor-sektor ekonomi seperti pertanian, pembangunan luar bandar, pengangkutan dan kemudahan infrastruktur fizikal. Pengagihan ini jelas mencerminkan kesungguhan Kerajaan dalam melaksanakan strategi-strategi yang digariskan dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Sabah bagi mendukung mempercepatkan pertumbuhan ekonomi. Manakala sektor pembangunan sosial yang meliputi bidang seperti latihan kemahiran, perumahan dan pembangunan bandar, kebudayaan, belia dan sukan, perpustakaan serta perkhidmatan kebajikan telah diperuntukkan sebanyak RM134.42 juta atau 23.3%. Baki yang berjumlah RM63.76 juta atau 11.0% adalah bagi pembinaan bangunan-bangunan dan pejabat Kerajaan sebagai prasarana untuk pentadbiran pembangunan.

32. Pembahagian Belanjawan Pembangunan yang dibiayai melalui Wang Negeri adalah seperti berikut:

Bil. Kementerian/Jabatan RM(Juta)

%

1. Kementerian Perhubungan dan Kerja Raya 185.83 32.18

2. Kementerian Pertanian dan Perikanan

122.24 21.61
3. Jabatan Ketua Menteri 72.44

12.54

4. Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan 64.01 11.08
5. Kementerian Pembangunan Luar Bandar 36.00 6.23
6. Kementerian Kewangan 25.00 4.33

7. Kementerian Pelancongan dan Pembangunan Alam Sekitar

23.12 4.00
8. Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan 16.10 2.79
9. Kementerian Pembangunan Perindustrian

14.64

2.54

10. Kementerian Perkhidmatan Sosial

10.62 1.84
11. Kementerian Pembangunan Sumber dan Perusahaan 7.57

1.31

JUMLAH

577.57 100.00

 

Jadual pembahagian peruntukan pada tahun hadapan menampakkan Kementerian Perhubungan dan Kerja Raya sebagai penerima yang terbesar dengan jumlah RM185.83 juta atau 32.18% daripada jumlah keseluruhan peruntukan. Tidak dapat dinafikan bahawa Kementerian ini merupakan pemangkin yang utama dalam pembangunan kemudahan infrastruktur dan memikul tanggungjawab yang sangat luas dan besar.

33. Selaras dengan objektif untuk membasmi kemiskinan mutlak, Kementerian Pertanian dan Perikanan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang terlibat secara langsung dengan pembangunan luar bandar telah diberikan sejumlah RM158.24 juta atau 27.39% daripada jumlah peruntukan. Dengan peruntukan yang diberikan ini adalah menjadi harapan Kerajaan agar rancangan pembasmian kemiskinan dapat ditangani dengan lebih bermakna untuk mengangkat martabat mereka yang kurang bernasib baik untuk menikmati dan seterusnya, menerajui hidup berdikari dan berkualiti.

34. Selanjutnya saya suka menekankan bahawa sejumlah RM14.64 juta yang diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian tidak termasuk peruntukan untuk pembangunan KKIP iaitu, sebanyak RM40.00 juta yang dibiayai melalui wang pinjaman seperti saya telah sebutkan tadi. Di samping itu, Kerajaan juga telah memutuskan bahawa bermula daripada tahun hadapan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO) adalah dipertanggungjawabkan untuk membiayai sendiri program mereka yang berkaitan dengan pembangunan rumah kedai di seluruh Negeri. Pendekatan ini diambil supaya agensi-agensi Kerajaan mengamalkan sikap berdikari sejajar dengan matlamat agensi-agensi ini ditubuhkan. Walau bagaimanapun Kerajaan akan terus memberi subsidi ke atas pembangunan infrastruktur dan sebanyak RM3.20 juta disediakan untuk tahun hadapan bagi pembangunan rumah kedai.

 

Sumbangan Persekutuan

35. Hasil daripada perhubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri akan terus menerima bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan untuk projek-projek pembangunan pada tahun hadapan. Selain daripada RM64.42 juta Pinjaman Persekutuan dan RM38.89 juta Bayaran Balik Persekutuan yang telah saya sebutkan sebelum ini, Kerajaan Persekutuan juga telah memperuntukkan sejumlah RM369.85 juta untuk berbagai projek pembangunan di Sabah. Peruntukan tersebut adalah untuk tujuan seperti yang berikut:

 

RM(Juta)
Perhutanan 8.32

Lembaga Tabung Getah

1.00

Perkembangan Perkhidmatan

0.70

Pengairan dan Saliran

2.50
Perikanan 7.00
Jalanraya dan Jambatan 297.93
Bekalan Elektrik 50.00
Bekalan Air 2.40

369.85

 

Penutup

36. Tahun 1998 memasuki tahun ketiga bagi Rancangan Malaysia Ketujuh dan kita akan berada di ambang Abad ke-21. Era peralihan ekonomi yang sedang berjalan dan pelbagai cabaran dan rintangan yang dihadapi dewasa ini mengajak kita semua untuk lebih cekal serta berfikiran terbuka dan mempertingkatkan tekad dan iltizam untuk membangunkan Negeri ini. Dalam usaha untuk menangani perubahan, penstrukturan ke atas fungsian organisasi dan penyusunan strategi-strategi pembangunan adalah merupakan instrumen yang berkesan bagi meletakkan pengurusan dalam semua bidang di atas landasan yang kukuh.

37. Walau apa pun persediaan yang hendak dilakukan, kita harus ingat bahawa disiplin dalam semua perbuatan dan dalam semua bidang adalah merupakan ramuan yang berkesan untuk menempuh kejayaan. Untuk mencapai matlamat ini, sudah tentu kerjasama yang erat daripada semua pihak diperlukan. Pihak Kerajaan, sektor swasta mahupun pihak pembangkang harus mengambil pendekatan yang seiring apabila berhadapan dengan isu-isu menyentuh pembangunan ekonomi Sabah dan memberi input untuk memperteguhkan dasar-dasar Kerajaan. Sekiranya terdapat sesuatu kelemahan yang hendak dipelajari ianya hendaklah dipelajari tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak.

38. Demi untuk masa depan Negeri Sabah dan generasi akan datang, saya mengesa supaya kita menerima pembaharuan minda untuk bersama mencari jalan keluar bukannya terus bersengketa dengan cara kegiatan berpolitik yang tidak membawa apa-apa manfaat kecuali kemudaratan ke atas bumi harapan ini. Kestabilan politik dan keharmonian di kalangan rakyat Sabah adalah aset terpenting untuk menentukan pewujudan iklim pelaburan yang merangsangkan perkembangan sektor perniagaan. Keyakinan masyarakat peniaga tempatan yang beransur baik walaupun berada dalam keadaan sekarang ini, adalah satu petanda sihat untuk masa depan ekonomi negeri.

39. Dalam usaha kita untuk membawa ekonomi Negeri ini ke tahap yang lebih mantap, saya yakin pengalaman dan kebijaksanaan para pemimpin Negara dan Negeri, berupaya membawa ekonomi Negeri ini ke tahap yang lebih tinggi.

Tuan Speaker, saya mohon mencadang.